Tahu tak sebenarnya Malaysia pun pernah ada Peguam Negara yang bukan Islam dulu.

Selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum 14, mereka ada buat macam-macam perkara – antaranya lancarkan Tabung Harapan, dan bubarkan beberapa badan yang sebelum ni jadi pengampu Barisan Nasional.

Kebanyakan tindakan kerajaan baru ni dapat sambutan yang baik daripada rakyat. Bukan main semangat lagi rakyat kita dapat kerajaan baru buat kali pertama, yelah dah lebih 60 tahun dipimpin oleh kerajaan yang sama. Tapi dalam banyak-banyak tindakan yang kerajaan baru ni buat, ada satu yang mendapat kecaman ramai orang.
Kecaman ni lebih teruk daripada keputusan nak buat kajian tentang Jakim, cuba korang teka apa? Eh…takkanlah korang tak tahu, korang dah baca tajuk artikel ni kan? Kontroversi ni terjadi bila ada berita kata Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tak setuju dengan cadangan nak lantik Tommy Thomas sebagai Ketua Peguam Negara.

1. Kita pernah ada Peguam Negara bukan Islam kat Malaysia

Kebanyakan orang yang marah ni sebenarnya tak sedar yang sebelum ni Malaysia pernah ada  Peguam Negara non-muslim. Walaupun dah agak lama kita takde Peguam Negara yang bukan Islam, tapi tu tak bermaksud kita tak pernah ada. Kalau korang nak tahu – Peguam Negara tu dilantik oleh YDPA jugak, masa tu takde masalah. Mungkin time tu Facebook dan Twitter tak wujud lagi kot, jadi tak banyak orang komen.

Dua bekas Peguam Negara tu bernama Cecil M. Sheridan dan Athi Nahappan. Orang putih lagi kot, tapi selepas diorang ni kebanyakan orang Islam je yang dilantik. Mungkin sebab tu ada orang yang fikir yang jawatan ni tak boleh dipegang oleh bukan Islam. Menurut Dr Gurdial Singh Nijar – sepatutnya benda ni tak jadi isu, sebab kita bukan tak pernah ada Peguam Negara bukan Islam.

“Ikutkan sejarah, sepatutnya tidak perlu wujud bantahan. Peguam Negara bukan Islam pernah berlaku sebelum ini. Kekeliruan tak patut wujud sekarang. Antara peguam negara bukan Melayu-Islam terdahulu ialah Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959), Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974).” – Dr Gurdial Singh, dipetik dari The Malaysia Insight

Dr Gurdial jugak kata – Peguam Negara ni mestilah orang yang kerajaan selesa berurusan dengan dia sebab dia akan banyak berhubung dengan kerajaan lepas dilantik. Macam kalau korang nak pilih orang yang nak kerja dengan koranglah, mesti pilih yang senang kautim. Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen pun kata benda yang sama, bagi dia apa yang penting untuk Peguam Negara adalah kelayakan, bukan semata-mata nak tengok agama atau bangsa.

“Peguam negara adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dalam perkara penting menyentuh undang-undang dan Perlembagaan. Kerana itu kaum atau agamanya sepatutnya tidak perlu jadi syarat.

Tambahan pula, peguam negara mengikut Perlembagaan dilarang daripada terlibat dalam prosiding Syariah.” – Eric Paulsen, dipetik dari The Malaysian Insight

Kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hanyalah formaliti

Ni bab undang-undang sikit, jadi korang kena baca dengan teliti dan takleh guna emosi. Sebab undang-undang ni kalau korang baca dengan emosi dan sentimen – memang tak jadilah, baik korang baca novel kalau nak baca dalam keadaan macam tu. Peranan YDPA ni termaktub dalam Perkara 145(1) dan Perkara 40(1A);

“Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai peguam negara bagi Persekutuan.”

“Bagaimanapun, oleh sebab kita sebuah negara kerajaan raja berperlembagaan, Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong dalam keadaan sedemikian mesti menerima dan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri. Tiada ruang untuk menggunakan budi bicara.” – Lim Wei Jiet, dipetik dari The Malaysian Insight

Menurut Lim Wei Jiet – Agong hanya boleh melaksanakan budi bicaranya dalam ruang yang sangat terhad seperti yang terkandung di bawah Perkara 40(2) – contohnya tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. Maksudnya, kat negara kita ni, YDPA mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri, ruang untuk baginda gunakan budi bicara sangat terhad.

3. Sebenarnya Peguam Negara bukan ada bidang kuasa pun dalam mahkamah syariah

Macam kami cakap tadi – fungsi utama peguam negara ni adalah untuk jadi penasihat kepada kerajaan dalam hal undang-undang. Dia juga akan jadi peguam atau pendakwa raya kalau ada kes mahkamah yang libatkan kerajaan Malaysia. Dia ni sama jugak macam kakitangan kerajaan yang lain, macam Ketua Polis Negara – apa yang lebih menarik, sebenarnya dia tak terlibat pun dalam Mahkamah Syariah seperti yang ditakuti oleh ramai orang.

“Jadi tidak timbul isu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak terutama berkaitan hal-hal agama Islam kerana Peguam Negara tidak ada kuasa dalam hal itu.” – Dr Aziz Bari, dipetik dari BHPlus

Bukan muslim jadi Peguam Negara? Habislahhhhh kita…Imej dari Giphy
Tapi tak semua yang tolak Tommy Thomas ni sebab dia bukan Melayu atau Islam, ada je yang tolak dia sebab kebebasan dia boleh dipertikaikan memandangkan dia ni rupa-rupanya pernah jadi peguam untuk Lim Guan Eng.

“Peguam Negara yang akan dilantik sepatutnya tidak pernah bersama atau membela mana-mana menteri, Peguam Negara juga seharusnya bebas, tiada kontroversi dan bersih daripada rasuah atau salah guna kuasa. Kredibiliti dan kebebasan Thomas dipertikai kerana beliau adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng.” – Musa Awang, dipetik dari

4. Kenapa pelantikan Peguam Negara kali ni nampak lambat dan banyak isu?

Korang ingat tak pernah ada isu – proses angkat sumpah Perdana Menteri selepas keputusan PRU14 diumumkan? Padahal benda tu bukan saja-saja dilambatkan sebab YDPA kena pastikan yang Pakatan Harapan betul-betul menang. Berdasarkan kenyataan istana pagi tadi – nampaknya memang ada orang nak bangkitkan isu ni dengan cara yang salah. Yalah, korangkan suka baca berita-berita yang sensasi, lagi-lagi kalau libatkan Melayu dan Islam.

“Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.” – Istana Negara, dipetik dari SelangorKini

Bagi sesiapa yang dah lupa dengan pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali – dia telah menjadi Peguam Negara sejak 27 Julai 2015. Dia menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwa menghidap penyakit buah pinggang. Masa Abdul Gani Patail ni “direhatkan” daripada jawatan dia – takde isu langsung macam berlaku sekarang ni. Beberapa hari Gani Patail direhatkan daripada jawatan Peguam Negara tu, Apandi Ali terus ambik jawatan penting tu.

Masa Apandi Ali dilantik, ramai orang suarakan perasaan tak puas sebab Abdul Gani yang direhatkan atas faktor kesihatan tu nampak dianiaya. Kalau korang nak tahu – semasa Abdul Gani Patail ni direhatkan daripada jawatan Peguam Negara, dia sebenarnya sedang menyiasat kes 1MDB. Jeng je jeng. Kalau korang perasan, ramai yang direhatkan atau dipindahkan masa siasat 1MDB.

“Saya ingin tahu apa yang berlaku ketika dia (Gani) dipecat dan apakah hasil siasatannya. Dia (Gani) dakwa beliau sedang menyediakan kertas pertuduhan terhadap Najib dan pada pagi itu dia dilucutkan jawatannya.” – Tun Mahathir, dipetik dari The Reporter

Apabila Apandi dilihat selalu membela Najib dalam beberapa perkara, ketika Pakatan Harapan menang PRU14, diorang terus pecat Apandi. Tapi tu pemecatan secara lisan, so maksudnya masa Tun Mahathir kata pecat Apandi, dia belum dipecat secara rasmi.

Jadi kalau korang perasan, sebenarnya Apandi baru dipecat semalam – bersama dengan Kenyataan Media Istana Negara. Lebih kurang macam sebelum ni, sebaik je Peguam Negara semasa dipecat, terus Peguam Negara yang baru dilantik. Ramai orang fikir kita lama takde Peguam Negara sebab pimpinan kerajaan kata dah pecat Apandi. Hakikatnya kalau nak tamatkan perkhidmatan Peguam Negara kena dilakukan oleh YDPA dengan nasihat Perdana Menteri.

5. Tommy Thomas pernah wakili Chin Peng, Lim Guan Eng dan PAS

Tak kenal maka tak cintakan? Jadi biar kami kenalkan korang sikit dengan Peguam Negara kita yang baru ni – tapi taklah bermaksud korang kena jatuh cinta dengan dia. Kalau korang nak tahu – Tommy Thomas dah terlibat dengan bidang guaman selama 40 tahun. Dia dapat Ijazah Perundangan kat University of Manchester dan Ijazah Sarjana (Masters) kat London School of Economics.

Korang ingat tak peristiwa kapal MH370 Malaysia yang hilang beberapa tahun lepas? Tommy Thomas adalah peguam yang bertanggungjawab untuk wakili keluarga mangsa sebab nak saman kerajaan Malaysia. Dia siap pernah tulis dua buah buku yang bertajuk Anything But The Law dan Abuse of Power. Dua-dua buku ini menyentuh tentang perlembagaan, ekonomi, dan politik.

Kehebatan Tommy jelas kelihatan apabila dia dah wakilkan pelbagai pihak tak kiralah dari parti mana. Macam yang kami kata kat sebelum ni – Tommy ni pernah terlibat dengan kes yang melibatkan Lim Guan Eng. Tapi mungkin ramai dah tahu benda ni, sebenarnya dia jugak pernah wakili tokoh komunis Chin Peng. Powerkan?

Tak puas hati lagi? Tommy bukan setakat jadi peguam kepada orang Cina je, dia jugak pernah wakili PAS. Eh?! Bukan PAS ke yang paling marah bila Tommy ni nak dilantik jadi Peguam Negara? Pada 2010, Thomas wakili Kelantan yang dipimpin PAS untuk tuntut hak “Kelantan Petroleum Agreement” dan “Kelantan Grant” yang dimeterai pada 9 Mei 1975 di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Petronas .

Kalau dari segi kelayakan undang-undang, kami rasa takde siapa yang boleh nafikan kebolehan Tommy ni. Dia dah kendalikan banyak kes penting kot, tambah-tambah lagi dengan pengalaman luas dalam bidang tu. Memang patutlah dia dilantik sebagai Peguam Negara.

Berita yang sensasi tak semestinya benar, korang kena buat soal selidik

Dalam dunia yang berada di hujung jari kalau korang dah langgan internet, macam-macam berita yang korang akan baca. Kebanyakan berita-berita hari ni sengaja disensasikan supaya adalah orang yang nak baca. Tapi korang kena ingat, tak semuanya yang ada kat internet tu betul atau bermanfaat. Macam isu Peguam Negara ni – punyalah ramai yang tiba-tiba jadi pakar bab undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong pun ada kata yang baginda sedih sebab banyak media yang laporkan berita secara tak betul dan boleh ganggu keharmonian negara ni. Korang kalau tengok berita-berita macam ni, korang tak perlu layan atau laporkan kat polis, biar tukang batu api tu disiasat polis. Kitakan hidup dalam masyarakat yang majmuk – YDPA dan Peguam Negara ni berkhidmat untuk semua, bukan untuk satu-satu bangsa je. Apa yang penting dia layak dan boleh buat kerja.

Salinan Asal : soscili.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *