Berpisah dengan isteri selepas 10 tahun berkahwin untuk hidup bersama ‘gadis impian’ tetapi pengakhirannya tidak seperti yang dimahukan.

Saya sudah berkahwin dan telah bersama dengan isteri saya selama 15 tahun. Tetapi saya telah meninggalkannya pada ulang tahun perkahwinan kami yang ke 10. Kami dikurniakan dua orang anak dan ketika saya meninggalkan mereka, masing-masing berusia 7 dan 9 tahun.

Saya banyak menghabiskan masa bekerja di luar daerah, menginap di hotel sekurang-kurangnya tiga malam seminggu dan begitulah saya bertemu dengan Eve.

Kami berkenalan dari masa ke masa dan menjadi kawan di Facebook, berbalas mesej setiap malam. Eve juga telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Kami mempunyai banyak persamaan dan akhirnya kami jatuh cinta. Saya dapat merasakan dia telah berjaya ‘menawan’ saya.

Semua ini berlaku ketika rumah tangga saya diuji. Saya tidak gembira dan tidak rasa mahu pulang ke rumah. Isteri saya semakin bertambah berat badannya, kami jarang bersembang dan dia selalu kelihatan tidak terurus.

Saya mendapat tahu bahawa sayalah punca dia tertekan dan murung. Saya tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepadanya. Saya mengambil kesempatan ke atas dirinya. Saya terlalu sibuk memikirkan bagaimana hendak menjadikan hidup saya lebih menyeronokkan, lebih romantik malah saya menggunakan masa lapang dengan memikirkan bagaimana saya dapat keluar daripada ikatan perkahwinan ini.

Saya percaya isteri saya sudah tidak cintakan saya. Saya menyakinkan diri bahawa dia tidak pernah ambil peduli akan diri saya atau keperluan saya atau kemahuan saya dan keinginan saya dan saya merasakan semuanya amat menyakitkan hati.

Isteri saya menghabiskan masa luangnya menjaga saya dan anak-anak. Dia menyediakan makanan, membasuh pakaian, membuat kerja-kerja rumah, menghantar anak-anak pergi bersukan, menjaga haiwan peliharaan kami walaupun dia juga sebenarnya mempunyai pekerjaan sendiri.

Setiap kali dia bercakap dengan saya, apa yang saya dengar hanyalah leteran dan rengekan. Tetapi dia sebenarnya cuba meraih perhatian saya. Dia mahukan percutian bersama, temu janji romantik pada waktu malam, menonton wayang tetapi semua itu saya lakukan di belakangnya bersama Eve dan selepas saya meninggalkan keluarga saya.

Kami bertengkar dan bergaduh kerana kami merasakan tiada siapa yang mendengar luahan perasaan masing-masing dan itulah yang kami tidak lakukan, MENDENGAR luahan masing-masing.

Saya berpindah ke wilayah lain bersama Eve dan bekas isteri saya yang mendapat hak penjagaan anak-anak. Pada setiap hujung minggu kedua, saya akan melawat anak-anak.

Permulaan baharu bermula.

Kehidupan sangat menyeronokkan. Saya dan Eve mempunyai kehidupan intim yang sangat mengagumkan dan saya percaya hubungan itu tidak wujud ketika saya bersama bekas isteri saya dahulu. Kami mempunyai ramai kawan malah keluarga dan anak-anak saya turut berasa senang dengannya.

Namun, bekas isteri saya tidak pernah bertemu dengan Eve. Dia merasakan dirinya dikhianati dan saya semakin membencinya! Dia seperti keanak-anakan dan dia memang tidak kisah akan kebahagiaan saya. Saya juga tidak kisah tentang perasaannya apabila saya memuat naik gambar saya bersama Eve di Facebook. Saya memiliki Eve dan saya merasakan seluruh hidup ini sangat menarik dan hebat!

Saya dan Eve telah bersama lebih kurang 6 bulan dan kami tidak pernah berkahwin kerana kami percaya perkahwinan bukanlah keutamaan kami. Eve adalah masa depan saya dan dialah orang yang saya mahukan selama ini.

Benarlah kata orang, langit tidak selalunya cerah. Tidak kira betapa hebatnya hubungan intim kami, saya dan Eve mula bergaduh tentang perkara-perkara kecil. Sehinggalah pada jam 2 pagi di suatu hari, saya seperti tersedar akan sesuatu.

Saya sedar bahawa saya sangat merindui wanita yang telah membina keluarga pertama saya. Saya sedar saya pernah melayan bekas isteri saya sebaiknya seperti saya melayan Eve. Pergi menonton wayang, bergurau senda. Namun semuanya tinggal kenangan.

Jika saya tidak memburukkannya pada keluarga dan kawan-kawan, pasti dia tidak akan berjauh hati. Malah saya turut meyakinkan keluarga dan kawan-kawan bahawa dia bukanlah wanita yang baik untuk saya dan itulah antara alasan saya mahu bercerai dengannya.

Penyesalan akhirnya dirasai…

Ternyata saya sangat merindui masa saya bersama dengan anak-anak. Terasa rindu pada kehidupan berkeluarga dahulu. Saya membiarkan isteri membesarkan anak-anak seorang diri. Memang benar saya membantunya daripada segi kewangan tetapi seorang lelaki yang tinggal bersendirian tidak tahu kos kehidupan yang ditanggung oleh ibu tunggal. Ketika saya dan Eve sedang enak menikmati stik pada hujung minggu, bekas isteri pula hanya makan telur dan roti bakar.

Untuk pengetahuan anda, bekas isteri saya tidak pernah sekali pun merungut! Dia tidak pernah meminta wang dari saya dan dia juga tidak pernah menghalang saya bertemu dengan anak-anak. Dia sanggup melepaskan waktu hujung minggunya supaya ibu saya dapat meluangkan masa dengan cucu-cucunya. Dia merelakan saya hidup bersama Eve walaupun perkara itu hanya menyakitkan hatinya.

Seperti pasangan berkahwin yang lain, mereka turut melalui masa susah dan senang dan menghadapinya bersama-sama, sedangkan saya? Saya mengambil jalan mudah dengan menceraikan wanita yang baharu kini saya sedar selama ini dia telah mengorbankan segala-galanya untuk saya!

Saya mendapat tahu bekas isteri tidak pernah berkahwin selepas kami bercerai walaupun dia pernah keluar temu janji. Ternyata dia hanya fokus untuk membesarkan anak-anak daripada mencari kebahagiannya sendiri. Perkara itu membuatkan saya berasa serba salah terhadapnya.

Sudah terlambat…

Sehinggalah apabila dia bertemu dengan Craig saya fikir perkara itu tidak akan mengganggu saya dan baguslah dia sudah mempunyai teman lelaki. Tetapi ternyata saya salah. Saya rasa sakit hati, saya rasa cemburu malah rasa marah dan dikhianati.

Dia membina kehidupan baharu bersama Craig dan anak-anak kami. Perkara itu bagaikan pil yang pahit untuk ditelan. Akhirnya saya faham apa yang telah dilalui oleh bekas isteri saya dahulu.

Saya melihat bagaimana mesranya keluarga baharu itu. Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah di tepi pantai, memanjat gunung dan berkayak di Mauritius di mana di situlah Craig melamarnya!

Dia nampak bahagia dengan kehidupan baharunya dan wajahnya kelihatan berseri-seri. Dia benar-benar seperti wanita yang dilamun cinta dan malangnya saya bukanlah lelaki yang bertuah itu. Saya dapat merasakan jantung saya seperti ditoreh dengan pisau tetapi tidak berdarah.

Kini, saya hidup bersendirian dan akan bertemu dengan anak-anak apabila ada kelapangan. Anak-anak sudah besar dan mereka marah kerana saya meninggalkan mereka dan ibu mereka dahulu. Saya tidak menyalahkan mereka. Semua yang berlaku berpunca dari saya yang ego.

Semoga kisah saya ini menjadi iktibar buat anda semua. Hargailah dan sayangilah selayaknya wanita yang baik itu. Tiada isteri yang sempurna dan kitalah sebagai suami yang perlu menyempurnakannya. Bukankah hidup sebagai suami isteri itu saling melengkapi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *