“Safiey Bukan Bodoh” – Bekas Mak Nyah.

BEKAS mak nyah, Harry Zulkifli menegaskan bahawa sahabat baiknya, yang sama-sama berubah, Safiey Ilias bukanlah seorang yang bodoh untuk menggunakan agama semata-mata untuk mendapatkan publisiti sekali gus melariskan perniagaan.

Ini kerana setelah mengumumkan untuk berubah namun kini Safiey dikatakan kembali berpakaian wanita, sehingga ada yang mengatakan Safiey sekadar berlakon.

“Dengar cakap saya, saya ada dengan dia masa dia nak berubah. Saya yang tawarkan diri saya untuk teman dia buang implan dan sebagainya.

“Dia bukan berhijrah untuk lariskan produk, memang bukan cuma mungkin dia stress ke apa ke, patutnya kita doakan dia.

“Safiey seorang yang bijak, tidak akan membodohkan diri dia sendiri untuk melariskan produk, memalukan diri sendiri,” ujar Harry dalam program FB Live Sinar Harian.
“Safiey Bukan Bodoh” - Bekas Mak Nyah.
Harry Zulkifli.

Bekas mak nyah yang pernah dikenali dengan nama Yana ini juga turut terpalit dengan kata-kata bahawa dia juga kononnya berubah kerana inginkan publisiti dan luaskan perniagaan.

“Saya tak ada produk. Saya hanya makan gaji dengan kerajaan. Kalau betul saya nak gunakan agama, saya dah buat dua tahun lepas ketika bersama-sama dengan Safiey viral.

“Saya minta maaf kepada yang masih bersangka buruk dengan saya. Yang buruk memang banyak dari saya.

“Demi Allah, saya berhijrah untuk mak, keluarga di kampung dan kerana Allah,” ujar Harry lagi. – Sinar Online

 

 

“KALAU orang tidak mempercayai penghijrahan saya, saya tidak kisah kerana saya tahu apa yang saya buat ketika ini dan memang menyesali apa yang saya sudah lakukan.”

Demikian kata Harry Zulkifli, 26, bekas mak nyah yang perkongsian mengenai kisah hitam hidupnya suatu ketika dulu tular di Facebook (FB).

Harry yang juga anak bongsu daripada dua beradik berasal dari Kuching, Sarawak berkata, dia sedar, kisah penghijrahan mengenai golongan itu ‘busuk’ sejak kebelakangan ini.

Dia bagaimanapun optimis dan mengharapkan supaya orang ramai mendoakannya selain tidak membandingkan dirinya dengan sesiapa.

“Saya tidak mahu cakap besar kerana semuanya Allah SWT yang tentukan. Jelas ketika ini isu hijrah sukar dipercayai, tetapi jangan disebabkan isu berkenaan, ramai remaja atau golongan mak nyah yang nak balik ke pangkal jalan tertekan.

“Ramai orang cakap, yang kita (mak nyah) tidak boleh berubah, tetapi saya sentiasa percaya orang sekeliling sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu kita berubah,” katanya.

Kisah hidupnya sebagai mak nyah yang ketika itu menggunakan nama Yana bermula selepas mendapat tawaran kerja di sektor kerajaan di ibu negara selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Harry berkata, dia yang sudah mengambil pil hormon sejak berusia 15 tahun kemudiannya terikut-ikut dengan rakan terutamanya mak nyah kerana sentiasa menghabiskan masa di kelab malam antara empat hingga lima hari seminggu.

“Perwatakan saya sebagai mak nyah semakin menjadi-jadi pada 2013 apabila pergi kerja berpakaian lelaki, tetapi pada sebelah malam saya berpakaian wanita sehingga saya ditukarkan tugas ke Jelebu, Negeri Sembilan.

“Saya menyimpan rambut panjang ketika itu dan pihak atasan saya memberi teguran, tetapi saya tidak endahkan sehingga kami bergaduh semata-mata kerana saya nak pertahankan rambut itu,” katanya.

Harry yang mula berhijrah pada 2015 juga mengakui yang pada tahun pertama, dirinya tidak kuat walaupun selepas menunaikan umrah dan berhenti mengambil pil hormon .

“Saya macam tak kuat sebenarnya, saya balik dari umrah pun masih tak potong rambut. Saya tak kuat, tetapi perlahan-lahan saya potong (rambut) dan saya mula menjauhkan diri daripada kawan mak nyah.

“Saya ambil langkah lari dan bermuhasabah diri sehingga sampai satu tahap rasa sunyi dan keseorangan walaupun sebenarnya saya yang lari daripada orang lain,” katanya.

Harry berkata, sejak daripada itu, dia mula mendekatkan diri dengan Allah SWT, menunaikan solat lima waktu dan semakin kuat apabila menerima sokongan keluarga yang selama ini sering diabaikan.

“Sepanjang saya berperwatakan mak nyah, saya memang jarang bertanya khabar ibu di kampung dan tidak akan menjawab panggilan kecuali ketika kecemasan kerana ibu saya sakit buah pinggang.

“Walaupun keluarga tahu mengenai hidup saya sebagai mak nyah, mereka sebenarnya tidak pernah membuang saya dan sering menasihati, tetapi saya sendiri yang keras kepala masa itu.

“Sekarang ini, saya akan bertanya khabar dan berborak dengan ibu setiap hari, berbeza ketika kehidupan saya sebagai mak nyah dulu kerana keluargalah yang paling gembira apabila saya berubah,” katanya.

Harry juga tersedar yang selama ini dia terkhilaf dan ego kerana rakan di tempat kerja juga memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya apabila dia berubah.

Dia juga sebenarnya sudah bertemu kembali dengan rakan mak nyah yang dulu, tetapi bukan lagi dengan cara mengunjungi kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Sebaliknya, mereka sering berkongsi mengenai kisah hidup dan bertanyakan cara sekiranya mereka ingin berubah, kembali kepada fitrah asal sebagai lelaki.

“Ramai golongan mak nyah terdetik nak berubah tetapi mereka tidak tahu bagaimana caranya. Saya selalu cakap kalau saya boleh kamu semua boleh.

“Walaupun cara hidup kami kini berbeza, saya tetap berhubung baik dengan mereka kerana kita sama-sama manusia dan mereka sendiri ramai sebenarnya yang menjaga solat,” katanya.

Dalam masa sama, Harry juga menafikan yang perkongsian dia mengenai penghijrahan itu semata-mata ingin melariskan perniagaan dan menambah kenalan di FB.

“Saya masih berkhidmat dengan kerajaan, cuma sekarang saya bercuti tanpa gaji kerana menjalankan perniagaan sebagai pendapatan tambahan sejak empat tahun lalu.

“Lagipun, saya tiada produk sendiri, saya cuma menjual produk orang lain dan saya pun tidak terlalu banyak memuat naik mengenai perniagaan sampingan itu di FB,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *